Skip to main content

Selepas 40 tahun menanti dan beberapa kali turun naik mahkamah bagi menyelesaikan hak pemilikan tanah ladang Kampung Gatco (Kg Serampang Indah), seramai 139 penduduk akhirnya menerima geran hak milik tanah ladang berkenaan semalam.

Isu Ladang Gatco bermula selepas pemilik asal tanah seluas 2,000 hektar itu, iaitu Syarikat Gula Negeri Sembilan ditutup dan ladang tebu milik syarikat itu dilupuskan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) secara pajakan 99 tahun.

PKNNS kemudian memajakkan tanah itu selama 66 tahun kepada syarikat The Great Allonioners Trading Corporatiom Berhad (GATCO) yang kemudian menjadikan kawasan itu sebagai tanah rancangan.

Syarikat berkenaan membawa masuk peserta yang ditawarkan tapak rumah dan kebun seluas empat hektar setiap seorang dengan bayaran antara RM4,000 hingga RM7,000.

Pada awalnya kawasan itu dirancang dijadikan ladang getah, namun GATCO menghadapi masalah kewangan menyebabkan projek terbengkalai.

Tanah syarikat berkenaan kemudian dilelong pada 2004 sebelum dibeli sebuah syarikat Thamarai Holdings Sendirian Berhad.

Isu kemudian timbul apabila penduduk asal yang membayar ketika memasuki tanah rancangan itu tidak dapat memiliki tanah sehingga kes dibawa ke mahkamah.

Kerajaan negeri ketika itu kemudian campur tangan sebelum memutuskan setiap penduduk atau peneroka asal menerima tanah seluas 1.6 hektar dan penduduk yang membeli daripada peneroka asal seluas 0.8 hektar.

Bagaimana pun ada penduduk yang tidak berpuas hati dan tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan kerajaan negeri.

Syarikat Thamarai Holdings Sdn Bhd bersetuju untuk memberi secara percuma tanah seluas 482.4 hektar kepada penduduk terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Lotus Group Malaysia, Datuk R Ramalingam Pillai, berkata pihaknya gembira kerana dapat membantu penduduk kampung berkenaan menyelesaikan pemilikan hak tanah lebih empat dekad lalu.

“Kita harap dengan pemilikan tanah ini, penduduk dapat menjalankan pelbagai projek pertanian sekali gus keluar membantu mereka untuk berjaya dalam kehidupan.

“Kita anggap ini antara tanggungjawab sosial syarikat kepada penduduk kampung yang bersetuju menerima tawaran kerajaan negeri,” katanya.

Thamarai Holdings adalah anak syarikat di bawah Lotus Malaysia yang terbabit dalam pelbagai bidang perniagaan di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Ladang Gatco, R Papiyah, berkata pihaknya gembira kerana penantian lebih 40 tahun ditamatkan dengan penyerahan geran hak milik oleh kerajaan negeri semalam.

Katanya seramai 101 penduduk menerima geran hak milik bagi tanah seluas 1.6 hektar tanah manakala 37 lagi menerima 0.8 hektar.

Hamran Mohamad, 63, pula mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang terdahulu kerana membantu menyelesaikan masalah itu sebelum disambung oleh kerajaan pada hari ini.

“Alhamdulillah, semuanya sudah berakhir dan penduduk boleh merancang aktiviti masing – masing di atas yang sudah menjadi hak milik,” katanya.

Majlis penyerahan geran hak milik disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun di Dewan Pejabat Daerah Jempol.

Aminuddin turut mengingatkan penduduk supaya menjaga tanah berkenaan dengan baik selain mengusahakannya supaya dapat memberi manfaat untuk keluarga.

Source : Berita Harian